Muzium Bukit Kepong - Abadikan semangat juang pasukan polis

Khamis, 27 Januari 2011 0 comments

Sebut saja Peristiwa Bukit Kepong yang berlaku berhampiran Muar, Johor, pasti ramai yang mengetahui tragedi sedih tersebut.Apa tidaknya, ramai anggota polis termasuk keluarga dan anak-anak mereka terbunuh akibat serangan pengganas komunis yang tidak berhati perut itu. Namun, kematian anggota-anggota polis serta keluarga mereka itu tidak sia-sia. Mereka telah mempertahankan Balai Polis Bukit Kepong dengan mempertaruhkan nyawa sendiri.

Peristiwa Bukit Kepong yang berlaku pada 23 Februari1950 itu juga memperlihatkan bahawa anggota-anggota polis itu berjuang hingga ke titisan darah terakhir. Malah, lebih menarik lagi ketika berjuang mempertahankan serangan hampir 200 pengganas komunis itu, keluarga anggota-anggota berkenaan turut mengangkat senjata dan berjuang bersama suami masing-masing. Setiap detik yang berlaku ketika Peristiwa Bukit Kepong itu merupakan sejarah amat bermakna kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM). Lipatan sejarah itu telah mengangkat martabat pasukan polis.

Moral daripada peristiwa itu ialah setiap anggota polis sanggup mempertahankan negara walaupun nyawa sendiri terkorban. Dengan kata lain, mereka berjuang demi bangsa, negara dan agama. Inilah kenyataan yang tidak boleh dikikiskan daripada lipatan sejarah tersebut. Namun, sejarah yang berlaku itu mungkin diketahui dan dihayati oleh kebanyakan generasi lama terutama pasukan keselamatan sendiri.

Persoalannya apakah generasi muda kini memahami serta menghayati sepenuhnya Peristiwa Bukit Kepong itu?. Apakah kalangan generasi muda itu mengambil inisiatif untuk mengenai melalui pembacaan buku-buku berkaitan peristiwa yang berlaku? Apa pun jawapannya, tepuk dada tanya selera.

Namun, usaha-usaha kini dilakukan oleh PDRM untuk mengabadikan peristiwa tersebut. Pengarah Jabatan Logistik Bukit Aman, Datuk Saharudin Samsudin berkata, PDRM dalam perancangan untuk membina Muzium Bukit Kepong di tapak bekas balai polis berkenaan. "Muzium Bukit Kepong itu sebagai mengabadikan fakta sejarah perjuangan polis ketika mempertahankan balai Bukit Kepong dari serangan pengganas komunis.

"Muzium itu juga sebagai bukti bahawa pasukan polis sanggup berjuang hingga titisan darah terakhir tanpa merelakan balai polis ditawan oleh pihak musuh. "Ia juga membuktikan bahawa setiap anggota polis tidak pernah terlintas untuk menyerah diri ketika berhadapan dengan situasi sedemikian,'' katanya.

 

Pembinaan Muzium Bukit Kepong itu dirasakan tepat pada waktunya walaupun sejarah tersebut sudah berlalu sekian lama. Melalui muzium itu juga, PDRM dapat mengekalkan fakta yang berlaku untuk dihayati oleh generasi-generasi akan datang. "Penghayatan terhadap peristiwa yang berlaku itu juga amat penting bagi generasi muda dalam pasukan polis sendiri. "Kita mahu setiap anggota polis generasi muda mengetahui perjuangan orang-orang sebelum mereka. "Kita mahu semangat perjuangan anggota-anggota terdahulu bukan sahaja dikenang, malah dijadikan idola serta perangsang oleh setiap anggota polis generasi masa kini,'' katanya.

Menurut Saharudin, langkah mewujudkan Muzium Bukit Kepong antara lain mengekalkan fakta sejarah supaya tidak luput. "Jika bahan-bahan serta fakta sejarah mengenai peristiwa itu tidak diabadikan, kemungkinan orang akan lupa. "Kita mahu, apabila disebut sahaja Peristiwa Bukit Kepong, orang akan mengingatinya sebagai satu lipatan sejarah yang amat ternilai.

"Melalui muzium itu nanti, PDRM mahu ketengahkan bahawa semangat juang yang ditunjukkan setiap anggota polis ketika itu telah membawa kepada negara mencapai kemerdekaan dan seterusnya kita bebas dari ancaman pengganas komunis. "Perjuangan pasukan keselamatan itu sebenarnya telah memberi penghidupan baru kepada setiap rakyat untuk hidup dengan aman dan tenteram,'' katanya. Beliau berkata, PDRM juga merancang supaya Peristiwa Bukit Kepong itu dididik di peringkat sekolah. Jelasnya, pegawai-pegawai PDRM yang memberi ceramah di sekolah-sekolah akan menyelitkan peristiwa yang berlaku.

"Melalui langkah ini, PDRM dapat mendidik golongan pelajar sekolah mengenai semangat juang yang dipamerkan oleh anggota-anggota polis. "Kita harap langkah ini juga dapat menyemaikan rasa cinta dan sayang generasi muda terhadap keamanan yang dikecapi masa kini,'' katanya. Saharudin berharap, melalui Muzium Bukit Kepong itu, orang ramai dapat menghargai perjuangan pasukan polis."Jika sejarah Perang Dunia Kedua ramai yang tahu kejayaan pasukan Bersekutu seperti Amerika Syarikat, kita juga mahu rakyat dan pelancong asing tahu Peristiwa Bukit Kepong."Muzium Bukit Kepong ini adalah mengenai semangat juang, pengorbanan dan jati diri anggota-anggota polis dalam mempertahankan negara,'' katanya.
Comments
0 Comments

0 comments:

Catat Ulasan

Share

Followers

 

©Copyright 2011 Galeri PDRM | TNB