SELAMAT MENYAMBUT HARI POLIS KE -204

Jumaat, 25 Mac 2011 0 comments
Kami Bersama Anda : Komited untuk menentukan keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat Malaysia. Terima kasih di atas sokongan yang anda semua berikan kepada kami, Polis Diraja Malaysia...Selamat Menyambut Hari Polis ke - 204 Tahun !!!

 
 
Perutusan Ketua Polis Negara :
Saya dengan bangganya ingin memaklumkan bahawa Global Peace Index telah meletakkan Malaysia ditangga ke-22 daripada 149 negara yang paling selamat di dunia, berbanding dengan kedudukan ke-38 pada tahun 2008 dan ke-26 pada tahun 2009. Di peringkat Asia Pasifik pula  negara kita berada di tempat ke 4 di belakang  New Zealand, Japan dan Australia. Ini merupakan satu pencapaian yang memberangsangkan dan kita akan memastikan prestasi ini dapat dipertingkatkan pada masa akan datang.

Dalam konteks keyakinan masyarakat dan rasa takut menjadi mangsa jenayah, kajian yang dijalankan oleh Taylor Nelson Sofres (TNS) Research International Malaysia mendapati keyakinan masyarakat terhadap PDRM telah meningkat kepada 55.8% dalam tempoh suku terakhir tahun 2010 berbanding 42.2% bagi tempoh suku kedua tahun 2010. Sementara itu, dalam tempoh suku terakhir tahun 2010, rasa takut menjadi mangsa jenayah telah menurun kepada 52.8% berbanding 55.1% bagi tempoh suku kedua tahun 2010.

Pendekatan kita berinteraksi dengan masyarakat secara face to face dan amalan stop and talk dilihat sebagai satu kaedah yang sesuai untuk mendampingi rakyat bagi meraih kerjasama di dalam mendapatkan maklumat serta pencegahan jenayah. Pewujudan Facebook merupakan satu sumber yang boleh memberi ruang yang lebih bebas kepada orang ramai untuk berinteraksi dengan PDRM.

Ucapan YB Dato’ Seri Hishamuddin B Tun Hussein, Menteri Dalam Negeri sempena Perbarisan Sambutan Hari Polis ke 204:

Antara kandungan ucapan.

"Dalam melaksanakan tugas, rakyat mengharapkan anggota yang mesra rakyat dan bersifat membantu. Bagaimanapun dalam menghadapi penjenayah dan pihak yang sengaja mencabar undang-undang, rakyat inginkan PDRM bertindak tegas dalam melaksanakan tugas tanpa pilih kasih. Jangan biarkan mana-mana anggota mencemarkan imej pasukan polis. Bad apples dalam pasukan mesti diperangi dan disingkirkan segera. Jangan kerana nila setitik, rosak susu sebelanga, jangan sampai mereka yang sedikit ini merosakkan segala usaha yang telah dibina. Aspek menambah baik kebajikan anggota dan pegawai PDRM telah dilihat secara menyeluruh dari pelbagai sudut merangkumi soal elaun, kenaikan pangkat, beban tugas, penstrukturan koperasi polis dan infrastruktur serta perkakasan yang diperlukan.Saya tidak mahu anggota kita terus bekerja dalam persekitaran yang bukan sahaja tidak kondusif, malah boleh membahayakan diri mereka. Perlu ada peningkatan dari segi perkakasan, agar mereka dapat melaksanakan tugas dengan lebih cekap dan memberikan mereka kelebihan ke atas penjenayah.

Sebagai usaha untuk meningkatkan keselesaan anggota polis dan keluarga mereka, saya telah meminta Tan Sri Ismail untuk melihat keperluan perumahan yang lebih baik kerana saya tidak mahu lagi anggota polis dan keluarga mereka tinggal dalam unit yang hanya mempunyai 2 bilik. Usaha-usaha akan dibuat untuk memperkasa, memperkemas serta mengstrukturkan semula koperasi Polis Diraja Malaysia (KPD) agar dapat menjadi payung dan entiti pelaburan serta pendidikan kepada anggota dan anak-anak anggota sekali gus memastikan anggota dan anak-anak anggota mendapat pulangan dan pembelaan yang sewajarnya daripada koperasi ini.
Usaha terkini sedang dijalankan oleh KDN bagi memperkukuhkan skim di bawah PDRM supaya menjadi lebih kompetetif dan berdaya maju, bukan sahaja melibatkan pegawai kanan PDRM tetapi juga perlu lebih menyeluruh melibatkan perubahan gaji matriks dan elaun-elaun di kalangan pegawai rendah polis (PRP) dan Konstabel. Skim perkhidmatan yang akan diperkenalkan ini bertujuan menambah baik dalam perkara-perkara yang berkaitan dengan kelayakan masuk, penggredan semula struktur pangkat, struktur gaji matriks, dan imbuhan tetap sejajar dengan saranan dalam Laporan Suruhanjaya Diraja Penambahbaikan Perjalanan dan Pengurusan PDRM bagi memastikan Skim Perkhidmatan Polis sentiasa relevan dan berdaya saing berbanding Skim Perkhidmatan yang lain".

PDRM perlu bersatu sebagai satu pasukan dan bercakap dalam satu nada dan satu suara. Hanya dengan kesatuan fikiran dan tindakan serta melaksanakan tugas sejujur-jujurnya sahaja, tuan-tuan dan puan-puan dapat menjadikan PDRM telus dan berwibawa seperti yang diharapkan oleh rakyat dan seterusnya dapat kita angkat sebaris dengan pasukan polis terbaik di dunia".
Comments
0 Comments

0 comments:

Catat Ulasan

Share

Followers

 

©Copyright 2011 Galeri PDRM | TNB