NKRA - PDRM KINI DI ARUS PERUBAHAN

Jumaat, 9 Mac 2012 0 comments

PROGRAM TRANFORMASI KERAJAAN (GTP) - PENGLIBATAN PDRM DALAM BIDANG KEBERHASILAN UTAMA NEGARA (NKRA) MEMBANTERAS RASUAH
Pada tahun 2010, YAB Perdana Menteri Malaysia Dato' Sri Mohd. Najib bin Tun Haji Abdul Razak telah memulakan Program Transformasi Kerajaan (GTP), program yang nekad untuk mentransformasikan secara radikal cara bekerja Kerajaan agar dapat menghasilkan penyelesaian sebenar bagi isu-isu sebenar agar Kerajaan bersama dengan rakyat dapat mara ke hadapan dengan langkah yang teguh sebagai sebuah Negara. Keseluruhan program ini adalah berlandaskan premis bagi komitmen Kerajaan di bawah sepanduk 1Malaysia "Rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan". Terdapat enam (6) tonggak atau Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dalam GTP berdasarkan perhatian rakyat yang paling mendesak dan perubahan yang mampu memberikan keberhasilan besar yang pantas tetapi realistik. Enam (6) tonggak utama NKRA tersebut adalah:-
1. Mengurangkan Jenayah;
2. Membanteras Rasuah;
3. Mempertingkat Pencapaian Pelajar;
4. Meningkatkan Taraf Kehidupan Isi Rumah Berpendapatan Rendah;
5. Mempertingkat Infrastruktur Asas Luar Bandar; dan
6. Mempertingkat Pengangkutan Awam di Bandar.

 NKRA Membanteras Rasuah adalah salah satu daripada (6) Bidang Keberhasilan Utama Negara di dalam Program Transformasi Kerajaan (GTP). Tujuan NKRA Membanteras Rasuah dibangunkan adalah untuk membendung gelombang rasuah yang menurut tanggapan, melanda masyarakat Malaysia. Berdasarkan skor dan kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (Corruption Perception Index - CPI) Transparency International (TI) dalam tempoh satu dekad yang lalu, telah menunjukkan persepsi negatif dalam komuniti perniagaan antarabangsa dan pakar-pakar negara terhadap Negara Malaysia iaitu mencatatkan peningkatan dalam CPI secara beransur-ansur di negarakita ini. Kedudukan skor Malaysia dalam carta CPI yang menunjukkan kemerosotan daripada 5.0 pada tahun 2001 kepada 4.4 pada tahun 2010 mencerminkan perihal wujudnya peningkatan gejala rasuah di negara ini. Jadual 2 menunjukkan kedudukan dan skor CPI Malaysia berbanding negara-negara lain hasil tinjauan yang dijalankan oleh Transparency International -CPI bagi tempoh 2001 hingga 2010.

Walaupun kita seringkali membuat penafian terhadap skor persepsi rasuah yang diperolehi hasil tinjauan yang telah dijalankan oleh TI, Kerajaan tetap menyahut seruan orang ramai dengan menjadikan usaha membanteras rasuah sebagai satu daripada prioriti utamanya dengan menjadikan NKRA Membanteras Rasuah di bawah GTP.
Tahun
Kedudukan Malaysia
Skor - CPI
Jumlah NegaraDikaji
2001
36
5.0
91
2002
33
4.9
102
2003
37
5.2
133
2004
39
5.0
146
2005
39
5.1
159
2006
44
5.0
163
2007
43
5.1
179
2008
47
5.1
180
2009
56
4.5
180
2010
56
4.4
178
Jadual 2: Kedudukan dan skor CPI Malaysia Oleh Transparency International bagi tempoh 2001 hingga 2010.
Sehubungan itu, pada tahun 2010, tiga sub-bidang telah dikenal pasti dalam NKRA Membanteras Rasuah dalam menangani isu-isu rasuah selain menambahbaik persepsi terhadap rasuah di Malaysia (mengikut skor CPI dan tinjauan Global Corruption Barometer oleh Transparency International) seperti yang ditunjukkan dalam Jadual 3 iaitu:-

Jadual 3 : Aspirasi Kerajaan dan Tiga Sub-Bidang NKRA Membanteras Rasuah.

i. Penguatkuasaan Undang-Undang Dan Agensi Pengawalseliaan (Regulatory and Enforcement Agencies)

Persepsi negatif terhadap agensi penguatkuasa dan pengawalseliaan boleh ditangani dengan memastikan bahawa rasuah tidak mempengaruhi para pegawai dan agensi-agensi ini serta menghalang mereka daripada menjalankan tugas dan kewajipan mereka dengan berkesan. Lima (5) agensi penguatkuasa utama yang bertanggungjawab dalam Sub-Bidang Keberhasilan NKRA Membanteras Rasuah adalah Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), Kastam Diraja Malaysia (KDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM). Ia berikutan agensi tersebut merupakan agensi kerajaan yang mencatat bilangan kes rasuah tertinggi di bawah siasatan SPRM.

PDRM, sebagai agensi penguatkuasa yang utama di negara ini begitu komited dalam melaksanakan inisiatif-inisiatif NKRA Membanteras Rasuah seterusnya berazam untuk memperbaiki dan seterusnya menambahbaik imej PDRM di mata rakyat. PDRM menghadapi cabaran yang amat tinggi dalam membendung persepsi negatif rakyat terhadap PDRM dalam isu rasuah. Ini adalah berdasarkan kepada hasil tinjauan yang telah dijalankan oleh Transparency International dalam Global Corruption Barometer (GCB) sepertimana dalam Jadual 4 mengenai persepsi rakyat terhadap tahap penglibatan agensi-agensi kerajaan dalam isu rasuah, kedudukan Polis (PDRM) berada di tangga yang teratas iaitu memperolehi skor yang paling tinggi jika dibandingkan dengan agensi yang lain sejak tahun 2004 sehingga tahun 2010 (tahun 2008 dan 2009 tiada tinjauan dijalankan terhadap Polis). Skor GCB bagi (1) adalah paling tidak ada aktiviti rasuah manakala (5) adalah paling banyak aktiviti rasuah.


Jadual 4 : Kedudukan Polis Mengikut Persepsi Rakyat Terhadap Penglibatan Agensi-Agensi Yang Dianggap Tinggi Terlibat Di Dalam Aktiviti Rasuah Dari Tahun 2004 Sehingga 2010.
ii. Perolehan Kerajaan (Projects and Procurement)
Objektif dalam Sub-Bidang ini adalah untuk mengurangkan salah tadbir dalam proses perolehan Kerajaan, Indeks Akauntabiliti Perolehan (Procurement Accountability Index) telah diwujudkan dan kemajuannya diukur menerusi bilangan Kementerian yang memperolehi skor 90%. Selain itu, ianya juga adalah untuk mewujudkan ketelusan, keadilan dan kesaksamaan serta akauntabiliti lebih baik dalam penganugerahan dan pelaksanaan kontrak.

iii. Rasuah Besar

Pelaksanaan dalam Sub-Bidang "Rasuah Besar (Grand Corruption)" yang dimaksudkan dalam Jadual 3 adalah untuk meraih semula keyakinan orang ramai dengan meningkatkan keberkesanan, pendakwaan dan hukuman terhadap rasuah, tumpuan diberikan kepada peratusan perbicaraan rasuah yang berjaya diselesaikan dalam tempoh setahun dan bilangan orang yang disenaraikan dalam pangkalan data SPRM yang mengandungi pesalah yang disabitkan. Selain itu, ianya juga adalah untuk menepis persepsi negatif rakyat bahawa tindakan undang-undang dalam jenayah rasuah hanya diambil terhadap 'ikan bilis' manakala 'jerung (big fish)' (kalangan individu yang berpengaruh atau berkuasa) terlepas daripada hukuman atau hukuman yang dikenakan pula dilihat tidak memadai bagi mereka yang mempunyai kuasa dan pengaruh.

Comments
0 Comments

0 comments:

Catat Ulasan

Share

Followers

 

©Copyright 2011 Galeri PDRM | TNB