PERINGATAN HARI POLIS KE 206

Isnin, 25 Mac 2013 0 comments

Alhamdulillah bersyukur kita ke hadirat Allah S.W.T kerana sekali lagi diberi hidayahNya untuk menyambut Peringatan Hari Polis ke 206 pada tahun ini. Saya dan seluruh kepimpinan tertinggi Polis Diraja Malaysia mengucapkan syabas dan tahniah kepada seluruh warga PDRM di seluruh pelusuk tanah air yang telah menjalankan tugas-tugas mulia untuk menjamin keselamatan dan ketenteraman awam sentiasa terpelihara di tanah watan kita ini.
 
Saya ingin memulakan perutusan ini dengan mengajak semua warga PDRM untuk sedekahkan Al- Fatihah dan bertafakur memberi penghormatan kepada wira-wira pasukan keselamatan kita yang telah terkorban semasa menjalankan tugas Op Daulat, Lahad Datu dan Semporna, Sabah.
 
Dalam pertempuran di Kampung Tandou, Lahad Datu pada 01 Mac 2013, ASP Zulkifli bin Mamat dan Sjn Sabaruddin bin Daud telah terkorban manakala pertempuran di Kampung Simunul, Semporna pada 02 Mac 2013 telah menyaksikan ACP Ibrahim bin Lebar, DSP Michael Anak Padel, SM Baharin bin Hamit, SM Azis bin Sarikon, Sin Salam bin Togiran dan Kpl Mohd Azrul bin Tukiran telah gugur. Di kedua-dua pertempuran tersebut, lapan lagi pegawai dan anggota kita telah mengalami kecederaan, iaitu DSP Nasaruddin bin Md Nasir, Insp. Mohamad Hasnal bin Jamil, SM Sakrani bin Hashim, Kpl Azman bin Ampong, Kpl Mohd Tarmizi bin Hashim, L/Kpl Mohamed Qaiyum Aiqal bin Zolkipli, L/Kpl Effandey bin Rosle dan L/Kpl Mohd Zariman bin Ibrahim.
 
Kita mengucapkan takziah kepada semua ahli keluarga dan sahabat handai wira-wira yang gugur. Sesungguhnya hati dan ingatan kita sentiasa bersama mereka di saat-saat tragis ini. Alhamdulillah, kebajikan mereka tidak sesekali kita abaikan di mana sumbangan dari rakyat Malaysia secara individu ataupun berkumpulan sentiasa mencurah untuk meringankan bebanan mereka. 
 
Kita juga amat bersyukur kerana mempunyai kekuatan dalam pasukan yang sentiasa memberi perhatian serta prihatin terhadap kebajikan, terutamanya melalui Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) yang memberi tumpuan sepenuhnya kepada aspek kebajikan keluarga wira-wira terkorban.
Sehubungan Op Daulat ini, saya amat teruja dengan semangat waja setiap pegawai dan anggota yang terlibat dengan penugasan di Lahad Datu, Semporna dan beberapa lokasi lain di Sabah. Gabungan pasukan-pasukan khas di dalam PDRM seperti Pasukan Gerakan Am, Pasukan Gerakan Khas, VAT69 komando, Cawangan Khas, Pasukan Gerakan Marin, Pasukan Gerakan Udara, Tugasan Am yang telah disokong oleh semua jabatan dalam PDRM serta dibantu dengan penuh komitmen oleh Angkatan Tentera Malaysia, telah menyerlahkan keupayaan kita untuk berhadapan dengan pengganas dari luar negara.
 
Ternyata kita telah meningkatkan lagi tahap kerjasama dengan Angkatan Tentera Malaysia dalam mempraktikkan Strategi Lautan Biru melalui gabungan strategik ini. Op Daulat juga menyaksikan prinsip kolaborasi, komunikasi dan kreativiti (3C) telah dijanakan sepenuhnya sehingga memberikan impak maksimum serta keberhasilan keseluruhan yang positif. Saya amat yakin jika kita terus menghayati maksim 'Sedia Berkhidmat' serta melaksanakan prinsip 3C, kita akan terus mampu mempertahankan kedaulatan negara dari pencerobohan anasir luar. InsyAllah.
 
Sempena Peringatan Hari Polis ke 206 ini, marilah kita memberi dedikasi kepada semua wira kita yang telah terkorban atau tercedera ketika menjalankan tugas mulia untuk mempertahankan negara, ketenteraman awam dan kesejahteraan masyarakat. Ini merupakan sumpah kesetiaan setiap warga PDRM ketika mereka memilih kerjaya untuk berkhidmat dalam pasukan yang mulia ini. Kita semua merasa amat bangga dengan pengorbanan mereka dan nama mereka akan terus diabadikan dalam lipatan sejarah negara.
Di kesempatan ini juga saya dan warga PDRM ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan jutaan terima kasih kepada pihak kerajaan yang diterajui oleh YAB Datuk Seri Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia yang begitu prihatin dengan segala jasa dan pengorbanan yang telah dicurahkan oleh warga PDRM di dalam mengekalkan keamanan dan kedaulatan negara.
 
Pada 11 Mac 2013, YAB Perdana Menteri telah mengumumkan semua pangkat dalam PDRM disetarakan dengan jawatan dalam skim Perkhidmatan Awam berkuatkuasa 1 Januari lalu. Pelarasan tersebut adalah selaras dengan perubahan skim PDRM yang mencakupi skop fungsi tugas, struktur pangkat dan juga kelayakan. Dengan pelarasan ini, para pegawai dan anggota dalam PDRM bakal menikmati gred dan kenaikan gaji yang baru. InsyAllah diharapkan dengan pengumuman skim tersebut akan menyuntik iltizam kepada semua warga PDRM untuk terus memberikan khidmat bakti yang tidak berbelah-bahagi kepada masyarakat demi kesejahteraan negara tercinta.
 
Saya dan warga PDRM juga mengucapkan terima kasih dan menghargai perhatian yang berterusan yang telah diberikan oleh Datuk Seri Hishammduddin Tun Hussein, Menteri Dalam Negeri. Fokus beliau telah banyak membantu pembentukan dasar dan arah tuju PDRM dalam konteks transformasi PDRM, terutamanya mengenai objektif dan sasaran yang telah ditetapkan dalam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Mengurangkan Jenayah. Kini, selaras dengan fasa kedua Pelan Transformasi Kerajaan (GTP2.0), NKRA Mengurangkan Jenayah telahpun memasuki Fasa Kedua (NKRA2.0) bermula pada tahun 2013 sehinggalah ke tahun 2015.
 
Komitmen bersepadu di antara Kementerian Dalam Negeri serta lain-lain jentera kerajaan dan swasta akan membolehkan PDRM terus menggandakan usaha untuk mempertingkatkan keberhasilan dalam inisiatif-inisiatif yang telah dan sedang dilaksanakan di dalam NKRA2.0.
 
Akhir kata, saya merakamkan penghargaan kepada semua jemaah menteri, pemimpin-pemimpin jabatan dan agensi kerajaan, swasta, pertubuhan, persatuan dan individu serta masyarakat keseluruhannya yang telah memberikan perangsang dan semangat kepada PDRM dan pasukan keselamatan, terutamanya ketika kita berdepan dengan pengganas di timur negeri Sabah ini. Jika dulu pasukan keselamatan kita mendapat sokongan penuh dari pelbagai golongan masyarakat, kini sokongan jitu dan padu yang sama juga diberikan. Ini secara langsung memberi impetus kepada kekentalan pasukan keselamatan menentang musuh negara.
 
Tan Sri Datuk Seri Utama Haji Ismail Haji Omar
Ketua Polis Negara
Comments
0 Comments

0 comments:

Catat Ulasan

Share

Followers

 

©Copyright 2011 Galeri PDRM | TNB